Khamis, 18 Julai 2013

Harga sebuah perkahwinan

    Pernahkah kita tertanya-tanya atau berfikir mengapa orang dulu-dulu bila berkahwin boleh kekal lama tetapi orang sekarang ada yang baru dua tiga bulan kahwin dah bercerai.

    Pernahkah kita terfikir, benda yang berharga sukar untuk diperolehi contohnya emas dan berlian tetapi benda yang kurang berharga, amat mudah diperolehi contohnya kertas suratkhabar dan kain buruk.
Barang berharga akan disimpan dan dijaga dengan rapi manakala barang yang tidak berharga sebaliknya mudah disia-siakan begitu saja.

     Orang dulu-dulu kalau nak bercinta cukup susah nak berjumpa, ada yang letak surat dalam pasu hanya untuk bertanya khabar. Anak-anak perempuan dikawal rapi oleh orang tua mereka, nak bercakap pun payah inikan pula nak berjumpa. Zaman sekarang, untuk berjumpa cukup senang. Boleh keluar bersama tanpa menghadapi halangan yang besar, call ajer nak jumpa di mana, terus bertenggek atas moto.

    Sebenarnya nilai perkahwinan itu sudah boleh ditaksirkan sebelum berkahwin lagi. Sejauh mana kita menghargai pasangan kita sebelum berkahwin itulah nilai sebenarnya selepas berkahwin. Apabila kita mendapat benda berharga, pasti kita jaga dengan rapi dan tak akan biarkannya hilang begitu saja, sebaliknya jika benda yang kita dapat kurang berharga, kita pun tak kisah kalau kehilangannya.

    Namun alasan mudah sering didengar apabila bercerai, tak sefahaman, tak sehaluan. habis tu masa naik moto tu, sehaluan pulak. masa berdating dulu, sefahaman pulak pelik..pelik..

   Itulah fenomena yang berlaku zaman sekarang, perkahwinan itu diibaratkan seperti main masak-masak. Apabila dah bosan, tak mahu main lagi. Yang lebih malang lagi, perkahwinan hanya digunakan sebagai alat untuk melampiaskan hawa nafsu sahaja dan ada yang berkahwin semata-mata untuk menutup malu atas keterlanjuran yang berlaku.

    Bahkan ada yang menilai perkahwinan itu dengan harta. Pernahkah kita mendengar kata-kata "wah! untunglah dia kawin dengan orang kaya", "Bahgialah kau dapat menantu orang besar". P. Ramlee pernah menyebut dalam filem Ahmad Albab "Kebahagian datangnya dari Allah, bukannya di tangan bapak.."
Orang dulu-dulu, kerja kampung anak berdozen tapi rumahtangga tetap utuh akan tetapi peliknya sekarang walaupun kedua-duanya bergaji besar, rumahtangga amatlah mudah runtuh. Apakah benar nilai perkahwinan itu pada harta? Bagi saya, harta itu sebenarnya akan meninggikan ego kita tanpa kita sedari. Jika tidak dikawal, buruk padahnya.

    Alangkah indahnya jika perkahwinan itu disulami dengan erat oleh Tali Allah dan Tali Manusia.