Bagi yang tidak biasa dengan Mahkamah, sudah pasti memerlukan masa untuk menyebut Plaintif dan Defendan. Usah risau pasal sebutan yang penting, pihak-pihak faham apa yang dimaksudkan dengan Plaintif dan Defendan.
Plaintif ialah istilah bagi pihak yang menuntut sesuatu di Mahkamah. Kadang-kadang disebut sebagai Pemohon dalam beberapa kes. Kebiasaannya orang yang mula-mula mendaftar kes di Mahkamah akan dipanggil Plaintif.
Defendan pula ialah istilah bagi pihak yang kena tuntut. Kadang-kadang disebut Responden dalam beberapa kes. Defendan boleh dianggap sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas tuntutan yang dikemukakan oleh Plaintif.
Sebagai contoh, jika seorang isteri ingin menuntut nafkah anak. Apabila mendaftar kes, isteri akan dinamakan sebagai Plaintif dan suami akan dinamakan sebagai Defendan.
Masalah sering timbul berkaitan Plaintif dan Defendan dalam soal perceraian. Para isteri takut untuk mendaftar kes di Mahkamah kerana menganggap apabila mendaftar seolah-olah dialah yang menjadi penyebab perceraian tersebut. Mereka juga menganggap dengan memohon perceraian di Mahkamah, hak-hak berkaitan selepas bercerai akan gugur.
Anggapan seperti ini perlu dihentikan kerana mendaftar kes di kaunter Mahkamah bukan menjadi kayu ukur siapa yang bersalah dalam kes tersebut dan bukan penyebab menggugurkan sesuatu hak. Adakah dengan memulakan kes dan menjadi Plaintif, hak nafkah isteri gugur? jawapannya sudah pastilah "tidak" kerana hanya Hakim mahkamah yang boleh mengesahkan sama ada hak gugur atau tidak.
Pendaftaran hanyalah suatu proses untuk memulakan kes supaya lebih teratur dan bersistematik. Usahlah kita dimomokkan dengan anggapan-anggapan yang tidak berasas. Mendaftar kes di Mahkamah menunjukkan kita memerlukan bantuan Hakim untuk menyelesaikan masalah yang timbul, tidak sekali-kali menunjukkan kitalah punca kepada permasalahan tersebut.