Khamis, 17 Oktober 2013

Sulh Dari Segi Perundangan

    Dalam entri kali ini saya ingin berkongsi tentang Sulh dari sudut pandangan undang-undang di Malaysia.
Apa pun sebelum itu, sedikit perkongsian mengenai Sulh dari sudut Hukum Syarak.

Allah berfirman dalam surah An-nisa' ayat 128 yang bermaksud:

"Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka dari bercerai-berai)..."

Ayat di atas menunjukkan Sulh (perdamaian) diharuskan apabila terjadi perselisihan antara suami isteri.

Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

"Perdamaian (Sulh) atau kompromi adalah perkara harus antara orang-orang Islam, kecuali Sulh menghalalkan perkara haram atau mengharamkan perkara halal"

    Dari sudut perundangan di Malaysia pula, rujukan yang paling utama adalah Perlembagaan Persekutuan. Secara umumnya Perlembagaan Persekutuan meletakkan kuasa pelaksanaan undang-undang Syariah di bawah kuasa Negeri sebagaimana yang disenaraikan dibawah Jadual ke-9, Senarai II Perlembagaan Persekutuan. Walaupun senarai yang disebut nampak panjang tetapi sebenarnya senarai tersebut mengehadkan kuasa undang-undang syariah itu sendiri. pada pandangan saya, sepatutnya tidak perlu senarai berjela-jela, cuma nyatakan undang-undang Syariah atau undang-undang Islam atau Hukum Syarak, itu sudah mencukupi sekaligus memberi kuasa penuh pada Mahkamah Syariah dalam pelaksanaan undang-undangnya.
 
   Seterusnya Artikel 74(2) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri untuk membuat apa-apa undang-undang berkenaan perlaksaan Undang-undang Syariah. Sebagai contoh Negeri Melaka telah mewujudkan Enakmen Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Tatacara Jenayah (Negeri Melaka) 2002 dan lain-lain lagi.
 
    Setelah itu barulah wujud perundangan mengenai Sulh sebagaimana di Negeri Melaka di bawah seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 (ETMMSNM) menyatakan:
"Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan Sulh bagi menyelesaikan pertikaian mereka....."
disokong oleh seksyen 131 Enakmen yang sama "Penghakiman atas pengakuan atau persetujuan pihak-pihak, termasuklah Sulh, boleh direkodkan oleh Mahkamah pada bila-bila masa"

Kemudian hasil dari kuasa yang diberikan di bawah seksyen 247 (c) ETMMSNM, maka lahirlah Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Melaka (Kaedah Sulh) 2004 bagi menjadi rujukan cara pelaksanaan Sulh di Negeri Melaka.

Selain itu bahan rujukan berkaitan Sulh yang tidak kurang penting juga adalah Arahan Amalan Mahkamah Syariah dan Manual Kerja Sulh yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

     Cukuplah setakat ini secara ringkas perundangan yang berkaitan Sulh. Semoga perkongsian ini membantu sedikit sebanyak dalam memahami Sulh di Mahkamah Syariah.

*setakat september 2013 di Melaka sebanyak 410 kes Sulh didaftarkan dan 176 kes telah berjaya diselesaikan iaitu 39.5%. Kegagalan disebabkan ketidakhadiran pihak-pihak masih tinggi iaitu 130 kes.