Khamis, 11 Oktober 2018

Cerai Jalan Terakhir

Jangan anggap cerai itu mudah...
Jangan anggap cerai itu pemudah cara...
Jangan anggap cerai itu penentu menang kalah...

Jangan cepat melatah...
Takut-takut yang menanti musibah...
Silap-silap yang menunggu masalah...

Bukankah cerai itu perkara harus yang paling dibenci Allah...

usah bicara pasal cerai jika tak tahu apa itu nafkah anak dan nafkah eddah...
apa itu harta sepencarian dan mutaah...
apa itu hak lawatan dan hadhanah...

Tenangkan hati dan bersabarlah...
kemudian buat istikharah...
Bila hati dah pasti, maka pilihlah...

Jumaat, 21 September 2018

Apa itu kes mal dan kes jenayah

     Di Mahkamah Syariah ada dua jenis kes iaitu kes Mal dan kes Jenayah.

1.  Kes Mal

     Kes Mal ialah jenis kes di mana sesuatu pihak menuntut sesuatu hak daripada pihak lain atau sesuatu pihak memohon sesuatu perintah daripada Mahkamah. Biasanya kes Mal dimulakan dengan pihak yang menuntut (dipanggil Plaintif/Pemohon) memulakan kes dengan mendaftarkan borang tertentu di Mahkamah. Dalam istilah undang-undang borang tersebut di sebut "Saman dan Penyata Tuntutan" atau "Permohonan dan Afidavit Sokongan". Contoh jika satu pihak ingin menuntut harta sepencarian, pihak tersebut perlulah mendaftar melalui Saman dan Penyata Tuntutan. Kes ini akan disebut sebagai kes Mal.


2.  Kes Jenayah

     Kes Jenayah ialah jenis kes di mana pihak yang mendakwa iaitu Pendakwa Syarie akan menuduh seseorang yang melakukan jenayah atau kesalahan syariah untuk dihakimi dan dihukum oleh Hakim Syarie jika didapati bersalah. Contoh jika seseorang ditangkap melakukan perjudian, ia akan dituduh di Mahkamah Syariah dan ianya disebut kes Jenayah.

Rabu, 15 Ogos 2018

Peringkat Mahkamah Syariah

   Kadang-kadang bila datang Mahkamah, kita tengok Mahkamah ni bertingkat-tingkat tapi tak ambil cakna pun apa sebabnya. Post kali ini, saya kongsikan peringkat-peringkat Mahkamah Syariah. Biasanya peringkat paling rendah duk tingkat bawah dan paling tinggi duk tingkat paling atas.

Mahkamah Syariah mempunyai 3 peringkat Mahkamah iaitu:

  1. Mahkamah Rayuan Syariah (MRyS)
  2. Mahkamah Tinggi Syariah (MTS)
  3. Mahkamah Rendah Syariah (MRS)
Setiap peringkat ni ada bidangkuasanya masing-masing sebagaimana termaktub dalam undang-undang.
Namun biasanya kes yang mudah-mudah dimulakan di Mahkamah Rendah Syariah dan hanya kes-kes yang besar serta berat dimulakan di Mahkamah Tinggi Syariah bergantung kepada tahap kesukaran kes tersebut. So, makin tinggi mahkamah, makin berat dan susah la kesnya..

Pendek kata kalo nak senang faham macam peringkat sekolah. Ada tadika, ada sekolah rendah dan sekolah menengah. Biasanya kene mula dari tadika dulu namun dalam satu-satu keadaan bila tahap kecerdikan budak tu ala-ala Albert Enstein, boleh la terus masuk sekolah rendah, takyah masuk tadika. Lebih kurang camtu la dia punya metafora...boleh gitu..

Satu lagi, bila kes mula di Mahkamah Rendah Syariah, bila kalah boleh buat rayuan kat Mahkamah Tinggi Syariah. Kemudian kat Mahkamah Tinggi Syariah pun kalah jugak, boleh merayu ke Mahkamah Rayuan Syariah pulak. Kat situ ada dua kali rayuan dibenarkan.
Tapi kalo kes mula di Mahkamah Tinggi Syariah, kalo kalah boleh merayu sekali ajer ke Mahkamah Rayuan Syariah. 

Selasa, 14 Ogos 2018

Kesalahan atau Jenayah Syariah berkaitan LGBT

      Apabila sebut pasal kesalahan syariah atau jenayah syariah, undang-undang utama yang digunapakai (bagi Melaka) ialah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
Dalam undang-undang tu sebut jenis kesalahan-kesalahan syariah yang boleh dipertuduh di Mahkamah.
Contoh seksyen 81 sebut mana-mana orang Islam yang berjudi boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Memandangkan isu LGBT yang sedang hangat sekarang, admin cuba senaraikan beberapa seksyen di bawah undang-undang syariah Melaka yang ada kaitan dengan LGBT.

1. Seksyen 56 – liwat

Mana-mana orang dengan sengaja melakukan liwat adalah bersalah atas suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi daripada lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga puluh enam bulan atau kedua-duanya sekali.”

2. Seksyen 57 – Percubaan liwat

“Mana-mana orang dengan sengaja cuba melakukan liwat adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi daripada lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga puluh enam bulan atau kedua- duanya sekali.”

3. Seksyen 58 – Perhubungan jenis luar tabii

Sesiapa yang mengadakan perhubungan jenis dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang dengan cara berlawanan dengan tabii semulajadi hendaklah dikenakan takzir dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dari tiga puluh enam bulan atau dirotan tidak melebihi enam kali rotan atau mana-mana gabungan dari hukuman tersebut.”

4. Seksyen 59 – Musahaqah

Mana-mana seorang perempuan dengan sengaja melakukan musahaqah dengan seorang perempuan yang lain adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.”

5. Seksyen 72 – Lelaki berlagak seperti perempuan

Seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana- mana tempat awam tanpa alasan yang munasabah adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.”


So, kesimpulannya jangan kata undang-undang syariah tak ambik port pasal LGBT ni...adios...

Khamis, 17 Oktober 2013

Sulh Dari Segi Perundangan

    Dalam entri kali ini saya ingin berkongsi tentang Sulh dari sudut pandangan undang-undang di Malaysia.
Apa pun sebelum itu, sedikit perkongsian mengenai Sulh dari sudut Hukum Syarak.

Allah berfirman dalam surah An-nisa' ayat 128 yang bermaksud:

"Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka dari bercerai-berai)..."

Ayat di atas menunjukkan Sulh (perdamaian) diharuskan apabila terjadi perselisihan antara suami isteri.

Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

"Perdamaian (Sulh) atau kompromi adalah perkara harus antara orang-orang Islam, kecuali Sulh menghalalkan perkara haram atau mengharamkan perkara halal"

    Dari sudut perundangan di Malaysia pula, rujukan yang paling utama adalah Perlembagaan Persekutuan. Secara umumnya Perlembagaan Persekutuan meletakkan kuasa pelaksanaan undang-undang Syariah di bawah kuasa Negeri sebagaimana yang disenaraikan dibawah Jadual ke-9, Senarai II Perlembagaan Persekutuan. Walaupun senarai yang disebut nampak panjang tetapi sebenarnya senarai tersebut mengehadkan kuasa undang-undang syariah itu sendiri. pada pandangan saya, sepatutnya tidak perlu senarai berjela-jela, cuma nyatakan undang-undang Syariah atau undang-undang Islam atau Hukum Syarak, itu sudah mencukupi sekaligus memberi kuasa penuh pada Mahkamah Syariah dalam pelaksanaan undang-undangnya.
 
   Seterusnya Artikel 74(2) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri untuk membuat apa-apa undang-undang berkenaan perlaksaan Undang-undang Syariah. Sebagai contoh Negeri Melaka telah mewujudkan Enakmen Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Tatacara Jenayah (Negeri Melaka) 2002 dan lain-lain lagi.
 
    Setelah itu barulah wujud perundangan mengenai Sulh sebagaimana di Negeri Melaka di bawah seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2002 (ETMMSNM) menyatakan:
"Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan Sulh bagi menyelesaikan pertikaian mereka....."
disokong oleh seksyen 131 Enakmen yang sama "Penghakiman atas pengakuan atau persetujuan pihak-pihak, termasuklah Sulh, boleh direkodkan oleh Mahkamah pada bila-bila masa"

Kemudian hasil dari kuasa yang diberikan di bawah seksyen 247 (c) ETMMSNM, maka lahirlah Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Melaka (Kaedah Sulh) 2004 bagi menjadi rujukan cara pelaksanaan Sulh di Negeri Melaka.

Selain itu bahan rujukan berkaitan Sulh yang tidak kurang penting juga adalah Arahan Amalan Mahkamah Syariah dan Manual Kerja Sulh yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

     Cukuplah setakat ini secara ringkas perundangan yang berkaitan Sulh. Semoga perkongsian ini membantu sedikit sebanyak dalam memahami Sulh di Mahkamah Syariah.

*setakat september 2013 di Melaka sebanyak 410 kes Sulh didaftarkan dan 176 kes telah berjaya diselesaikan iaitu 39.5%. Kegagalan disebabkan ketidakhadiran pihak-pihak masih tinggi iaitu 130 kes.






Khamis, 18 Julai 2013

Harga sebuah perkahwinan

    Pernahkah kita tertanya-tanya atau berfikir mengapa orang dulu-dulu bila berkahwin boleh kekal lama tetapi orang sekarang ada yang baru dua tiga bulan kahwin dah bercerai.

    Pernahkah kita terfikir, benda yang berharga sukar untuk diperolehi contohnya emas dan berlian tetapi benda yang kurang berharga, amat mudah diperolehi contohnya kertas suratkhabar dan kain buruk.
Barang berharga akan disimpan dan dijaga dengan rapi manakala barang yang tidak berharga sebaliknya mudah disia-siakan begitu saja.

     Orang dulu-dulu kalau nak bercinta cukup susah nak berjumpa, ada yang letak surat dalam pasu hanya untuk bertanya khabar. Anak-anak perempuan dikawal rapi oleh orang tua mereka, nak bercakap pun payah inikan pula nak berjumpa. Zaman sekarang, untuk berjumpa cukup senang. Boleh keluar bersama tanpa menghadapi halangan yang besar, call ajer nak jumpa di mana, terus bertenggek atas moto.

    Sebenarnya nilai perkahwinan itu sudah boleh ditaksirkan sebelum berkahwin lagi. Sejauh mana kita menghargai pasangan kita sebelum berkahwin itulah nilai sebenarnya selepas berkahwin. Apabila kita mendapat benda berharga, pasti kita jaga dengan rapi dan tak akan biarkannya hilang begitu saja, sebaliknya jika benda yang kita dapat kurang berharga, kita pun tak kisah kalau kehilangannya.

    Namun alasan mudah sering didengar apabila bercerai, tak sefahaman, tak sehaluan. habis tu masa naik moto tu, sehaluan pulak. masa berdating dulu, sefahaman pulak pelik..pelik..

   Itulah fenomena yang berlaku zaman sekarang, perkahwinan itu diibaratkan seperti main masak-masak. Apabila dah bosan, tak mahu main lagi. Yang lebih malang lagi, perkahwinan hanya digunakan sebagai alat untuk melampiaskan hawa nafsu sahaja dan ada yang berkahwin semata-mata untuk menutup malu atas keterlanjuran yang berlaku.

    Bahkan ada yang menilai perkahwinan itu dengan harta. Pernahkah kita mendengar kata-kata "wah! untunglah dia kawin dengan orang kaya", "Bahgialah kau dapat menantu orang besar". P. Ramlee pernah menyebut dalam filem Ahmad Albab "Kebahagian datangnya dari Allah, bukannya di tangan bapak.."
Orang dulu-dulu, kerja kampung anak berdozen tapi rumahtangga tetap utuh akan tetapi peliknya sekarang walaupun kedua-duanya bergaji besar, rumahtangga amatlah mudah runtuh. Apakah benar nilai perkahwinan itu pada harta? Bagi saya, harta itu sebenarnya akan meninggikan ego kita tanpa kita sedari. Jika tidak dikawal, buruk padahnya.

    Alangkah indahnya jika perkahwinan itu disulami dengan erat oleh Tali Allah dan Tali Manusia.


Khamis, 27 Jun 2013

Plaintif dan Defendan

Bagi yang tidak biasa dengan Mahkamah, sudah pasti memerlukan masa untuk menyebut Plaintif dan Defendan. Usah risau pasal sebutan yang penting, pihak-pihak faham apa yang dimaksudkan dengan Plaintif dan Defendan.

Plaintif ialah istilah bagi pihak yang menuntut sesuatu di Mahkamah. Kadang-kadang disebut sebagai Pemohon dalam beberapa kes. Kebiasaannya orang yang mula-mula mendaftar kes di Mahkamah akan dipanggil Plaintif.

Defendan pula ialah istilah bagi pihak yang kena tuntut. Kadang-kadang disebut Responden dalam beberapa kes. Defendan boleh dianggap sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas tuntutan yang dikemukakan oleh Plaintif.

Sebagai contoh, jika seorang isteri ingin menuntut nafkah anak. Apabila mendaftar kes, isteri akan dinamakan sebagai Plaintif dan suami akan dinamakan sebagai Defendan.

Masalah sering timbul berkaitan Plaintif dan Defendan dalam soal perceraian. Para isteri takut untuk mendaftar kes di Mahkamah kerana menganggap apabila mendaftar seolah-olah dialah yang menjadi penyebab perceraian tersebut. Mereka juga menganggap dengan memohon perceraian di Mahkamah, hak-hak berkaitan selepas bercerai akan gugur.

Anggapan seperti ini perlu dihentikan kerana mendaftar kes di kaunter Mahkamah bukan menjadi kayu ukur siapa yang bersalah dalam kes tersebut dan bukan penyebab menggugurkan sesuatu hak. Adakah dengan memulakan kes dan menjadi Plaintif, hak nafkah isteri gugur? jawapannya sudah pastilah "tidak" kerana hanya Hakim mahkamah yang boleh mengesahkan sama ada hak gugur atau tidak.

Pendaftaran hanyalah suatu proses untuk memulakan kes supaya lebih teratur dan bersistematik. Usahlah kita dimomokkan dengan anggapan-anggapan yang tidak berasas. Mendaftar kes di Mahkamah menunjukkan kita memerlukan bantuan Hakim untuk menyelesaikan masalah yang timbul, tidak sekali-kali menunjukkan kitalah punca kepada permasalahan tersebut.