Khamis, 27 Jun 2013

Plaintif dan Defendan

Bagi yang tidak biasa dengan Mahkamah, sudah pasti memerlukan masa untuk menyebut Plaintif dan Defendan. Usah risau pasal sebutan yang penting, pihak-pihak faham apa yang dimaksudkan dengan Plaintif dan Defendan.

Plaintif ialah istilah bagi pihak yang menuntut sesuatu di Mahkamah. Kadang-kadang disebut sebagai Pemohon dalam beberapa kes. Kebiasaannya orang yang mula-mula mendaftar kes di Mahkamah akan dipanggil Plaintif.

Defendan pula ialah istilah bagi pihak yang kena tuntut. Kadang-kadang disebut Responden dalam beberapa kes. Defendan boleh dianggap sebagai pihak yang bertanggungjawab ke atas tuntutan yang dikemukakan oleh Plaintif.

Sebagai contoh, jika seorang isteri ingin menuntut nafkah anak. Apabila mendaftar kes, isteri akan dinamakan sebagai Plaintif dan suami akan dinamakan sebagai Defendan.

Masalah sering timbul berkaitan Plaintif dan Defendan dalam soal perceraian. Para isteri takut untuk mendaftar kes di Mahkamah kerana menganggap apabila mendaftar seolah-olah dialah yang menjadi penyebab perceraian tersebut. Mereka juga menganggap dengan memohon perceraian di Mahkamah, hak-hak berkaitan selepas bercerai akan gugur.

Anggapan seperti ini perlu dihentikan kerana mendaftar kes di kaunter Mahkamah bukan menjadi kayu ukur siapa yang bersalah dalam kes tersebut dan bukan penyebab menggugurkan sesuatu hak. Adakah dengan memulakan kes dan menjadi Plaintif, hak nafkah isteri gugur? jawapannya sudah pastilah "tidak" kerana hanya Hakim mahkamah yang boleh mengesahkan sama ada hak gugur atau tidak.

Pendaftaran hanyalah suatu proses untuk memulakan kes supaya lebih teratur dan bersistematik. Usahlah kita dimomokkan dengan anggapan-anggapan yang tidak berasas. Mendaftar kes di Mahkamah menunjukkan kita memerlukan bantuan Hakim untuk menyelesaikan masalah yang timbul, tidak sekali-kali menunjukkan kitalah punca kepada permasalahan tersebut.    

Selasa, 18 Jun 2013

Cerai di mulut suami

Terlajak perahu boleh diundur
Terlajak kata buruk padahnya

Demikianlah diumpamakan terhadap suami-suami yang terlalu mudah
melafazkan kata-kata yang berunsurkan perceraian terhadap isteri.

Malangnya ada sesetengah pasangan suami isteri mendiamkan peristiwa yang berlaku atas banyak alasan dan sebab antaranya:

     - takut jatuh cerai
     - tak tahu
     - pasangan/kawan/sepupu/imam cakap tak jatuh cerai
     - pasangan ugut
     - takut kena denda

Apa pun alasannya sekiranya kita ragu-ragu tentang lafaz cerai suami, salah satu pihak hendaklah melaporkan ke Pejabat Agama Islam atau ke Mahkamah Syariah.

Pihak yang layak mengesahkan sama ada lafaz cerai suami jatuh cerai atau tidak ialah Hakim Syarie Mahkamah Syariah bukannya ketua kampung, imam, mak ayah atau kawan yang berkelulusan tinggi agama.

Memang betul tak salah nak merujuk kepada sesiapa pun tetapi yang terakhir sekali perlu mendapat pengesahan Hakim Syarie Mahkamah Syariah. Itu yang undang-undang tetapkan. Terpulang lah nak ikut cakap siapa, tapi bila masalah timbul, kita lihat siapa yang nak bertanggungjawab.

Ada yang dah 5 tahun baru nak datang mengadu, alasan tak tahu. Bukan tak tahu tapi dah tak suka, minta cerai tak dapat, benda dah lupa pun ingat semula hehehe...

Apa-apa pun sedikit maklumat tentang lafaz cerai. Ada dua jenis pertama lafaz secara jelas (soreh) bermaksud lafaz yang  tak perlu nak tafsir perkataan yang digunakan contohnya guna perkataan 'talak' atau 'cerai' dan niat suami tak diambil kira. Kedua lafaz tak jelas (kinayah) bermaksud lafaz yang memerlukan tafsiran lanjut tentang makna perkataan yang digunakan, contoh 'kau balik rumah mak kau' atau 'hubugan kita terpisah' dan niat suami diambil kira.

Oleh itu para suami jaga dan kawal kata-kata anda. Anda mempunyai hak talak, lupakannya selagi boleh.

Isnin, 17 Jun 2013

Apa itu SULH

Hari ini saya ingin berkongsi serba sedikit tentang SULH di Mahkamah Syariah.

SULH diambil dari perkataan Arab 'Sad' 'Lam' 'Hah". Dalam Istilah Mahkamah Syariah disebut sebagai "perbincangan damai".

SULH ini adalah satu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh Mahkamah Syariah untuk membantu pihak-pihak yang bertikai menyelesaikan kes dengan cara perbincangan.

Proses perbincangan disebut Majlis SULH dan dipengerusikan oleh seorang pegawai yang dipanggil Pegawai SULH.

Pihak-pihak akan dipanggil melalui surat untuk menghadiri Majlis Sulh tanpa diwakili oleh peguam atau sesiapa pun kecuali diri pihak-pihak sendiri.

SULH tidak meliputi semua kes di Mahkamah Syariah, hanya kes-kes tertentu sahaja menurut undang-undang. Contoh kes yang boleh SULH: Kes Nafkah Anak, Nafkah Iddah, Mutaah, Hadhanah, Harta sepencarian, dan lain-lain. Contoh kes yang tak boleh SULH: Kes Faraid, Pengesahan Lafaz Cerai, Fasakh, Ta'liq dan lain-lain.

Sekiranya SULH berjaya, perjanjian akan dibuat antara pihak-pihak dan pengesahan akan dibuat dihadapan hakim untuk pengeluaran perintah.
Sekiranya SULH gagal, kes tersebut akan didengar dihadapan Hakim melalui prosedur biasa di Mahkamah.

Antara kebaikan SULH:

-     Mempercepatkan kes : Paling cepat SULH pernah selesaikan kes ialah SATU HARI sahaja.
-     Menjimatkan masa dan kos : sudah tentu jika kes cepat selesai, tak perlu lagi berulang alik ke Mahkamah. Tak perlu nak upah peguam. (peguam jangan marah yek...)
-     Situasi Menang-menang : melalui SULH, kedua-dua pihak bertikai akan berpuas hati, takde istilah siapa menang dan siapa kalah. (win-win situation)
-     Maruah terjaga : apabila kes selesai cepat, tak perlu tebal muka hadir ke Mahkamah dan tak perlu tebal muka asyik nak minta cuti kat boss.

Untuk makluman Statistik SULH di Melaka pada tahun 2012 sebanyak 538 kes SULH didaftarkan, daripada jumlah tersebut 225 kes telah berjaya diselesaikan melalui SULH iaitu 41.82% dan 159 kes gagal kerana ketidakhadiran pihak-pihak.

Kredit diberikan atas usaha JKSM dalam memperkenalkan SULH dalam membantu mempercepatkan kes Mahkamah Syariah dan ianya  mula menampakkan hasil yang memberangsangkan tahun demi tahun....